PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Tuesday, September 30, 2008

17. Guru Gagal PTP Akan Ditukar Mata Pelajaran


Oleh Syuhada Choo Abdullah
Berita Harian Online 30 September 2008

Pendidik ajar Sains, Matematik mesti mahir bahasa Inggeris
KUALA LUMPUR: Guru Sains dan Matematik yang didapati masih gagal menguasai kemahiran bahasa Inggeris selepas beberapa kali menduduki Penilaian Tahap Profisiensi (PTP) akan ditukarkan mengajar mata pelajaran lain. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata guru terbabit ialah mereka yang berterusan mencatat pencapaian rendah iaitu Tahap Satu dan Tahap Dua dalam PTP.
Beliau berkata, langkah itu perlu bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah rendah dan menengah. "Justeru, guru PPSMI yang masih gagal menunjukkan sebarang peningkatan daripada pencapaian rendah mereka dalam PTP selepas tiga atau empat kali menduduki penilaian itu, mereka akan diarah mengajar mata pelajaran lain. "Bagaimanapun, berdasarkan hasil penilaian setakat ini, hanya sebilangan kecil guru yang mencatat pencapaian rendah dalam PTP dan sedang berusaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka.
"Secara keseluruhan, rata-rata guru PPSMI tidak menghadapi masalah berkenaan selepas beberapa tahun melaksanakan pengajaran itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Akhbar ini sebelum ini melaporkan seramai 74,657 guru yang melaksanakan PPSMI menduduki PTP bagi mengukur pencapaian mereka dalam penguasaan kemahiran bahasa Inggeris, 28 Jun dan 5 Julai lalu. PTP menguji tahap penguasaan bahasa Inggeris guru terbabit dalam tiga aspek kemahiran, iaitu penulisan, pendengaran dan pertuturan. Penguasaan diukur berdasarkan pencapaian Tahap Lima dan Tahap Empat yang dikategorikan sebagai memiliki kecekapan tinggi, Tahap Tiga (sederhana), manakala Tahap Dua dan Tahap Satu (rendah). Sambil menjelaskan pihaknya belum menerima laporan keputusan penilaian terbaru itu, Alimuddin berkata, semua guru Sains dan Matematik perlu memanfaatkan bayaran insentif subjek pendidikan (BISP) yang diperoleh sebagai bantuan tambahan untuk pembangunan diri ke arah memperkemas kemahiran berbahasa Inggeris, di samping kursus dan program sokongan disediakan kerajaan.
Secara umum, katanya, guru terbabit dalam pelaksanaan dasar PPSMI menerima BISP pada kadar lima peratus daripada gaji pokok bagi pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah, manakala bukan siswazah pula 10 peratus sebagai pengiktirafan serta keprihatinan terhadap mereka.

Tuesday, September 23, 2008

14. Masalah Air Di SMK Belawai

  1. Terlebih dahulu saya mengucapkan syabas kepada semua warga SMK Belawai kerana dapat bersabar dengan masalah ketiadaan air sepanjang 3 minggu lepas. Barangkali ini adalah ujian Allah SWT kepada kita lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Berbagai ujian daripada Allah untuk menguji kita.
  2. Walaubagaimanapun kesabaran tersebut ada hadnya juga. Ketiadaan air ini bukan saja dihadapi oleh para pelajar tetapi juga kepada seluruh warga SMK Belawai sama ada yang tinggal Flat, rumah guru dan saya juga tidak ketinggalan. Nasib baiklah ada sedikit air yang ditakung dapat juga mandi dan berwuduk.
  3. Maklumat yang yang saya perolehi daripada penduduk setempat masalah kali ini adalah masalah yang terburuk pernah berlaku. Sebelum ini tidak pernah berlaku sedemikian. Sepanjang saya berada di SMK Belawai. Ini adalah kali kedua saya mengalaminya. Kali pertama ialah pada bulan 6 yang lepas, semasa semua pelajar dan guru-guru pulang bercuti, tetapi saya masih bekerja di sini terpaksa berulang alik dari sibu ke Belawai setiap hari kerana masalah tersebut. Seingat saya pada masa tersebut saya menyambut kedatangan Ustaz Syamri ke Sekolah. Kesihan dia, dah lah datang bersama isteri, terpaksa pula mengahadai masalah air.
  4. Terpanggil saya untuk menulis perkara ini kerana kemungkinan rakan-rakan guru yang lain juga ingin tahu apakah tindakan pihak sekolah atas masalah ini. Untuk pengatahuan semua selang beberapa hari ketiadaan air (air ada tetapi pada masa-masa tertentu dan tekanan air tidak kuat) di SMK Belawai, saya cuba mendapat maklumat dari JKR Belawai tetapi tiada jawapan. Saya berbincang dengan YDP PIBG Ustaz Alwi, apakah yang perlu kita lakukan dengan masalah ini. Saya bimbang jika air tiada secara berterusan masalah lain akan timbul, masalah penyakit dan sebagainya. Lebih-lebih lagi pelajar asrama yang ramai. YDP pun buntu kerana bukan sahaja SMK Belawai yang menghadapi masalah tersebut tetapi penduduk kampung sekitar juga menghadapi masalah yang sama. Namun demikian, masalah tidak ada air ini tidaklah sampai semua pelajar tidak dapat minum kerana air untuk minum yang disediakan di dewan makan adalah mencukupi.
  5. Saya cuba mendapatkan penjelasan dari JKR Sarikei. Dapat dihubungi Mr. Lau. Beliau memohon maaf kerana katanya tekanan air memang rendah dan ada kemungkinan ada kebocoran paip air yang disalur dari Sarikei Ke Belawai. Oleh itu kita tiada pilihan lain. Terpaksa menerima hakikat bahawa masalah ini terpaksa kita tanggung. Cikgu Yusop juga mendapat penjelasan dari pihak JKR Sarikei.
  6. Dalam mesyuarat pengurusan, Ustazah Maznah ada mengemukakan masalah ini. Beliau memohon supaya saya membenarkan pelajar asrama yang dekat pulang ke kampung sekiranya masalah ini berterusan. Bagi saya mana yang terbaik kita lakukan untuk pelajar. Malangnya ada ibu bapa yang kurang faham dan menelifon saya mempersoalkan kenapa anak mereka dibenarkan pulang kerana ini melibatkan perbelanjaan besar bagi keluarga yang kurang berada. Pihak sekolah tidak memaksa tetapi ia terpulang kepada pelajar tersebut apa yang terbaik untuknya. Semua pelajar yang pulang dibenarkan pulang dengan surat yang bersyarat iaitu hanya 1 minggu sahaja. Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan akan datang semula ke sekolah sehingga selepas hari raya. Dalam mesyuarat pengurusan ada juga cadangan supaya kita memohon JKR menghantar air tetapi kita tidak ada bekas untuk menadah air.
  7. Dalam pada itu juga pihak sekolah juga mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Abd Gani (PKKK) kerana membenarkan pelajar menggunakan tong-tong air dalam stor sukan untuk disalur air dan digunakan oleh para pelajar untuk berwuduk. Begitu juga dengan guru-guru lain yang perihatin dengan masalah ini.
  8. Saya cuba memikirkan apakah yang perlu saya lakukan dan akhirnya saya meminta En Dor memasang Pam air di 3 buah asrama dan juga Flat guru. Nampaknya berhasil. Saya melawat di asrama lelaki dan melihat pelajar dapat mandi dan membasuh - alangkah sejuknya hati.
  9. Selepas saya menghubungi JKR Sarikei, 3 orang pegawainya telah datang memantau keadaan di SMK Belawai dan menerangkan kepada saya tentang masalah yang mereka hadapi dan masalah tersebut telah diselesaikan dan cuma tekanan air masih rendah.
  10. Buat masa sekarang masalah ketiadaan air di SMK juga telah sampai kepada pengetahuan pejabat YB Norah dan mereka telah menelifon sekolah untuk mendapat maklumat dari pihak sekolah.
  11. Untuk makluman kepada warga SMK Belawai, sebelum masalah ini berlaku pihak sekolah telah pun membuat satu kolah untuk asrama lelaki dengan harapan jika masalah air ini berlaku ia dapat diatasi, malangnya masalah ini sangat lama sehingga memakan masa berminggu-minggu yang tidak kita jangkakan sama sekali.
  12. Pada masa sekarang para kontraktor sedang membuat kolah untuk 2 asrama puteri dan langkah seterusnya ialah membuat tangki air bagi semua blok asrama lelaki dan perempuan. Tetapi jika masalah ini terlalu lama yang tidak dijangkakan saya tidak menjamin air tersebut mencukupi.
  13. Kita tidak menyalahkan mana-mana pihak, tetapi apa yang kita sangat-sangat berharap supaya sekiranya sesuatu masalah itu berlaku maka pihak yang bertanggungjawab perlulah cepat bertindak bukannya menunggu berbagai rungutan dari orang ramai kerana ia adalah keperluan asas yang wajib ada.

Sekian..

Wednesday, September 10, 2008

13. KEPENTINGAN MEMAHAMI PSIKOLOGI PELAJAR

Oleh : Mohd Saleh Ismail
Penulis ialah Kaunselor Berdaftar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Ampuan Durah, Seremban, Negeri Sembilan.
Sumber : Pendidik Bil 51/Ogos 2008
Rencana ini telah diringkaskan untuk dimanfaatkan isi-isi pentingnya.

Guru banyak menghabiskan masa dalam bilik darjah kerana bertanggungjawab dalam P & P dan guru juga menggunakan masa sepenuhnya memastikan matlamat P & P tercapai dan selari dengan kehendak sukatan pelajaran.

Proses P & P tidak semudah yang disangka. Ia bukan sekadar menyampaikan maklumat. Walaubagaimanapun guru perlu memberi perhatian kepada psikologi pelajar. Keputusan guru penting dalam P & P kerana ia akan mempengaruhi pembentukan pelajar, sekolah dan masyarakat. Jika guru hanya menumpukan kepada objektif, dan isi pengajaran semata-mata dikuatiri akan ada penghalang antara guru dan murid. Guru tidak boleh “syok sendiri” – bersedialah dengan sumber pengajaran yang lengkap.

Tahap dan kualiti pengajaran guru sekarang semakin baik kerana berbagai kursus diadakan tetapi tidak mencukupi jika guru tidak membuat “kerja rumah” yang sepatutnya iaitu mengukur dan menilai tahap pencapaian pelajarnya sebelum meneruskan P & P.

Pelajar bukanlah robot, mereka mempunyai hati dan perasaan. Sebagai insan yang sedang menuju kematangan hidup, mereka perlu melalui pelbagai proses pembinaan jati diri untuk menghadapi cabaran. Sebelum sampai ke bilik darjah pelajar menempuh pelbagai halangan peristiwa dan kejadian yang sebahagian besarnya terakam dalam kotak minda. Perkara inilah yang mengganggu emosi dan persediaan pelajar dan tidak dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran.

Jika guru menyampaikan P & P tanpa memikirkan persediaan pelajar dan kemampuan pelajar menerima isi pelajaran maka guru diibaratkan sebagai posmen yang hanya bertugas menyampaikan surat tanpa memikirkan isi kandungannya.

Persediaan sebelum mengajar perlu dilakukan. Guru perlu tahu pencapaian pelajar di dalam subjek yang diajar, aras pengajaran dan cara untuk menyediakan isi kandungan pelajaran.

Langkah pertama yang disebut “Set Induksi” amat penting. Guru perlu guna pengalaman menyediakan “Set Induksi” yang sesuai dan releven dengan pelajaran yang diajar. Ia tidak mengambil masa yang lama sekitar 5 hingga 6 minit tapi perlu digunakan sebaik mungkin.

Guru boleh mengaitkan dengan unsur alam sekitar, kehidupan pelajar, minat dan cita-cita mereka atau pengalaman lampau. Selain bersyarah, gunakan tayangan video, petikan program, cerita, lukisan, gambar. Semangat ingin tahu mendorong mereka mengubah pandangan dan pemikiran mereka.

Guru tidak boleh mengambil mudah dalam menyediakan aktiviti P & P. Menganggap semua pelajar di dalam kelasnya itu mempunyai taraf pengetahuan yang sama adalah satu kesilapan.

Selepas mengenalpasti semua faktor guru boleh merangka isi P & Pnya. Pada masa yang sama guru menghadapi kekangan masa dengan pelbagai aktiviti lain tetapi ia bukan satu alasan untuk terus mengajar tanpa persediaan, pengetahuan sedia ada dan pengalaman lampau murid.

Dengan mengetahui psikologi pelajar, sedikit sebanyak dapat membantu guru melihat kembali objektif yang hendak dicapai. Ujian berbentuk sumatif dan formatif adalah dua jenis pengukuran dan penilaian yang boleh digunakan.

Jelaslah, untuk memulakan P & P selain menyediakan ringkasan, banyak tugas lain yang perlu dilakukan oleh guru. Guru yang kreatif dan inovatif akan sentiasa memikirkan tentang psikologi pelajarnya, kehendak sukatan pelajaran, ruang waktu, tempat dan objektif P & P. Guru yang memikirkan semua perkara ini adalah guru yang mahu pelajarnya belajar sesuatu pada hari berkenaan, tidak bermakna guru hanya mahu menghabiskan sukatan pelajaran semata-mata bagi menghalalkan pendapatannya bulan itu dan pelajar belajar untuk peperiksaan semata-mata.

Guru tidak boleh membina proses P & P pada tahap falsafah semata-mata tetapi perlu dinyatakan secara jelas dan benar-benar mahu memberi input kepada pelajar. Guru berkesan adalah guru yang keluar dari bilik darjah dengan rasa puas kerana objektif P & P tercapai.
....

Thursday, September 4, 2008

12. Sikap Guru Turut Jejaskan Kegiatan Kokurikulum

Kokurikulum pada asasnya adalah bertujuan untuk membentuk diri pelajar yang seimbang tetapi ia kurang mendapat sambutan dari segi penglibatan atau sokongan pihak tertentu. Abu Bakar Nordin (1991) menyatakan ia terjadi kerana sekolah atau institusi pendidikan lebih mengutamakan kecemerlangan akademik.

Walaupun ko-k diwajibkan ia masih pada tahap kurang memuaskan. Keadaan ini disebabkan beberapa faktor yang melibatkan guru, ibu bapa dan institusi pendidikan itu sendiri. Antaranya:
  1. Tanggapan yang salah terhadap ko-k - Ko-k bukan kegiatan akademik yang tidak diberi penilaian. Oleh itu ibu bapa tidak menggalakkan anak-anak menyertainya dan masa tersebut digunakan untuk kelas tuisyen dan kelas muzik. Selain itu pencapaian cemerlang pelajar tidak diberi pengiktirafan sewajarnya dan pasaran pekerjaan lebih mementingkan pencapaian akademik.
  2. Kelemahan Guru dalam Pelaksanaan Aktiviti ko-k - Pembabitan guru kurang memuaskan. Guru mengganggap ini adalah beban tambahan dan bukan sebahagian kurikulum sekolah. Ada segelintir guru penasihat yang tidak mahir dengan kegiatan beruniform, kelab dan persatuan. Mereka tidak inovatid dan berinisiatif menentukan aktiviti seperti khidmat masyarakat, rekreasi dan pengayaan yang bersesuaian dengan tahap perkembangan dan kemampuan pelajar.
  3. Masalah dan Tanggapan Yang Salah Dikalangan Pelajar - Tinjauan Unit Disiplin Bahagian Sekolah pada 1983 mendapati kebanyakkan pelajar berpendapat kegiatan ko-k tidak mengnganggu kurikulum kerana dibuat diluar waktu persekolahan. Dengan itu ia melatih mereka membahagikan masa dan mengisi waktu lapang. Bagaimanapun faktor tempat tinggal yang jauh, pengangkutan dan prasarana sekolah menyebabkan mereka tidak dapat membabitkan diri dalam ko-k.

Masalah ini jika dibiar berlarutan akan membantutkan hasrat pendidikan yang ingin membentuk pelajar menjadi inisan yang mulia serta boleh dipercayai untuk memimpin negara pada masa depan.

Usaha-usaha yang patut dilakukan:

  • Pelaksanaan ko-k perlukan strategi tertentu dan dibuat berlandaskan prinsip untuk menggalakkan pelajar merancang, menentukan matlamat atau objektif serta berusaha mencapainya. Galakan penyertaan dan aktiviti perlu sesuai dengan minat pelajar dan selaras dengan pengetahuan akademik.
  • Guru harus memikir aktiviti yang memberi pelajar peluang untuk bekerjasama mengatasi masalah, meningkatkan prestasi, mematuhi peraturan, memimpin, bertanggungjawab serta mengeluarkan pendapat.
  • Guru perlu menjalinkan hubungan masyarakat melalui Hari Kokurikulum, di mana orang ramai dapat menyaksikan kegiatan ko-k di sekolah.
  • Guru penasihat perlu diberi latihan mencukupi supaya dapat mengelola dan menilai aktiviti yang dijalankan. Pelajar yang mempunyai pencapaian terbaik perlu diberi penghargaan.
  • Penerangan yang jelas mengenai ko-k perlu diberikan kepada ibubapa supaya mereka memahaminya.
  • Sekolah perlu menggalakkan aktiviti selari dengan masyarakat setempat supaya mendapat kerjasama dan bersefahaman dengan masyarakat. Gunakan pengaruh pelajar untuk pembabitan ibu bapa.
  • Pelajar yang terlibat dalam ko-k perlu mempunyai "First hand information" mengenai mutu program, pengalaman, dan hubungan mereka dengan guru. Mereka juga digalak berkongsi pengalaman dengan ibu bapa. Selain itu pelajar juga menjadi penghubung antara sekolah dengan masyarakat. Langkah ini dapat membantu pihak sekolah memberi persefahaman kepada ibubapa dan masyarakat mengenai ko-k yang dijalankan disekolah serta faedah terhadap perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek pelajar.

Sumber : Pendidik - Bil 44 / Januari 2008

Note: SMK Belawai telah menerima 1 CD dan 1 fail aktiviti ko-k pada 30 Ogos 2008 dari PPDK Daro- Bahan tersebut kini ada di PSS. Semua guru boleh meminjam dan memikirkan aktiviti terbaik untuk SMK Belawai

Monday, September 1, 2008

11. GAGAL MENGUASAI 3M - ADAKAH BERPUNCA DARI KEMISKINAN?

  1. Julina Johan, Pegawai Perhubungan Awam telah menjawab bagi pihak Ketua Setiausaha, Kementerian Pelajaran Malaysia kepada seorang penulis artikal di di dalam akhbar Utusan Malaysia (2005) yang bertajuk Kemiskinan Punca 1,800 murid gagal menguasai 3M. Isu yang dibangkitkan tersebut adalah mengenai kegagalan murid-murid dijajahan Bachok, Kelantan yang tidak dapat menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira.
  2. Katanya satu kajian telah dibuat dan antara faktor yang dikenalpasti penyebab utamanya ialah (a)Faktor Biologi - neurologi dan intelek (b) Faktor persekitaran (c) Faktor Iklim Sekolah dan (d) Faktor Pengajaran dan Pembelajaran.
  3. Sekiranya murid mengalami masalah lemah pencapaian akademik disebabkan faktor biologi, mereka memerlukan satu program intervensi yang memakan masa yang panjang berbanding dengan rakan sebaya mereka.
  4. Murid dalam kategori ini dinasihatkan supaya mendapatkan pengesahan pakar agar penempatan program pendidikan bagi golongan ini dapat dilaksanakan bersesuaian dengan keperluan pendidikan yang sebenar.
  5. Bagi murid yang penguasaan 3M bukan faktor biologi mereka mempunyai harapan yang cerah untuk dipulihkan.
  6. Walaupun begitu faktor kemiskinan adalah menjurus kepada faktor persekitaran tetapi ia bukanlah faktor utama murid lemah dalam pencapaian akademik, tetapi ia dilihat lebih kepada pengaruh budaya hidup sesuatu kelompok masyarakat, kualiti pemakanan, kesihatan dan suasana yang tidak menjana ke arah proses pembelajaran yang selesa serta konsisten.
  7. Bagi mengatasi masalah ini, Kementerian Pelajaran menerusi bahagian sekolah, bahagian biasiswa, bahagian buku teks dan Jabatan Pendidikan Khas telah melaksanakan pelbagai program.
  8. Antara Program tersebut ialah : Rancangan makanan tambahan, program susu sekolah, skim pinjaman buku teks, Skim Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin, Skim baucer tuisyen, biasiswa kecil, program pemulihan khas, pusat sumber sekolah, program nilam dan sebagainya.
  9. Semua program tersebut adalah bertujuan untuk dimanfaatkan oleh golongan pelajar miskin.
  10. Kementerian pelajaran Malaysia sentiasa memberi perhatian dan penekanan khususnya dalam memberi peluang pendidikan kepada golongan yang kurang berkemampuan bagi memastikan kesamarataan dalam mendapatkan pendidikan dapat dinikmati oleh golongan tersebut.

10. SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN KE 51 DAN SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN KEPADA SEMUA WARGA SMK BELAWAI


RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.